KOTA BHARU, 14 Oktober: Menjadi catatan sejarah apabila 13 agensi dan jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (KeTSA) bersama dengan beberapa agensi daripada Kerajaan Negeri turun padang untuk bersama masyarakat di Karnival KeTSA @ Kota Bharu.
Antara agensi dan jabatan tersebut ialah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Selain itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga telah membawa tetamu istimewa dua ekor gajah yang diberi nama Cherry dan Sanum sebagai tarikan kepada pengunjung di sini.”
Demikian ucapan Menteri Tenaga dan Sumber Asli YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Majlis Perasmian Karnival KeTSA @ Kota Bharu Prihatin di dataran Platinum Mall, Lembah Sireh, hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Kota Bharu itu juga menurunkan tandatangan simbolik ziarah mesra ke reruai Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) sebagai penghargaan atas kerjasama UPKN menjayakan karnival tersebut.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KeTSA Dato’ Rosli Isa berkata, program sebegitu menjadi amalan untuk membawa KeTSA bersama masyarakat bertujuan memberi informasi dan khidmat secara langsung kepada masyarakat.