Home Berita PAS Kelantan

Pembangunan sukan agenda utama kerajaan negeri – MB Kelantan

96
SHARE

KOTA BHARU, 9 Oktober: Seiring dengan agenda kerajaan dalam penganjuran Hari Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia, Kelantan tidak terkecuali menjadikan pembangunan sukan adalah antara agenda utama kerajaan negeri.

Ketika ini, kerajaan negeri memberi perhatian khusus kepada pembangunan prasarana sukan negeri seperti Pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau dan Pusat Akuatik di Madinah As-Salam Tunjong yang mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan melalui Kelab Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM276 juta dan peruntukan RM112.8 juta turut disediakan oleh Kerajaan Negeri sehingga tahun 2025 bagi tujuan pembangunan kompleks sukan tersebut.

“Selain itu, kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan yang lain juga sedang giat dilaksanakan bagi menyediakan fasiliti sukan terbaik kepada rakyat Kelantan, antaranya ialah menaik taraf Padang Bola Teluk Mesira, Padang Perdana, Dewan Badminton Telipot dan beberapa lokasi lain lagi.”

Demikian ucapan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob ketika merasmikan Program Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan yang bertemakan ‘Jom Turun Padang, Keluarga Malaysia Aktif’ di Mydin Mall Tunjong, semalam.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri KelantanYB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan Ketua Polis Negeri Kelantan YDH CP Dato’ Shafien Mamat.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Kelantan itu telah dimulakan dengan acara Fun Run dan Fun Walk yang disertai lebih 2,000 peserta dan disempurnakan acara pelepasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Wan Roslan Wan Hamat.

Para peserta Fun Walk juga bertuah kerana YB Wan Roslan dan Pengarah JBSN Kelantan Asmadi Mohamad turut berjalan sejauh tiga kilometer bersama mereka.