Oleh TASNIM
PANTAI MERDEKA – Penganjur Kursus Pengurusan Jenazah berharap dapat menjadikan setiap rumah mempunyai seorang ahli yang mahir dalam pengurusan Jenazah.
ADUN Pantai Merdeka, YB Ustaz Ahmad Fadzli Hashim memaklumkan ahli keluarga perlu didedahkan dengan ilmu pengurusan jenazah.
“Program pengurusan jenazah seperti ini harus dikembangkan dan diperbanyakkan di setiap Masjid untuk memberi pendedahan dan ilmu tentang pengurusan jenazah yang sempurna kepada ahli keluarga,” ujarnya.
Sabtu lalu, seramai 450 orang peserta hadir dalam Kursus Pengurusan Jenazah anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Pantai Merdeka, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Masjid Al-Barakah, Van Jenazah Percuma Sungai Perani, Team Amal Mabrur dan Van Wakaf Tikam Batu.
“Alhamdulillah, sambutan yang amat baik dari masyarakat setempat muslimin dan muslimat serta ramai anak muda yang mengambil peluang dan ruang yang terhidang untuk ilmu yang bermafaat ini.
“InsyaAllah, harapan pihak penganjur setiap rumah seorang wakil dapat direalisasikan,” ujarnya.
Program dirasmikan oleh Saifulazli Ahmad, Pengarah Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Pantai Merdeka yang hadir mewakili YB Ahmad Fadzli.
Turut bersama hadir Tuan Syeikh Mohd Noor Ismardi bin Ismail, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, AJK PKWR DUN Pantai Merdeka dan AJK Masjid Al-Barakah.