KENYATAAN MEDIA LATAS PAS PULAU PINANG
KELULUSAN PARLIMEN RUU KUALITI ALAM SEKELILING, LATAS PAS PULAU PINANG MENYOKONG KELULUSAN EIA PSR DIPERKETAT
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Pulau Pinang mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kerana telah berjaya membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022 dan telah mendapat kelulusan sebulat suara dalam Dewan Rakyat.
LATAS Pulau Pinang juga mengucapkan tahniah kepada semua ahli parlimen yang berbahas memberi input, pandangan dan memberi sokongan kepada RUU untuk diluluskan ke peringkat seterusnya.
Kesungguhan Menteri KASA, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bersama kementerian dalam meminda RUU Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 amat dipuji memandangkan isu alam sekitar kurang diambil kisah pada hari ini.
Perkara ini dapat dilihat apabila sebelum ini mana-mana individu apabila disabitkan kesalahan hanya dihukum tidak melebihi lima tahun penjara dan dikenakan denda tidak kurang RM100,000 yang tidak memberi kesedaran kepada industri dan pihak yang terlibat.
Buktinya kita boleh melihat pelbagai kerosakan alam sekitar yang telah berlaku sebelum ini sehingga turut memberi kesan kepada penduduk berdekatan seperti yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim pada tahun 2019.
Dengan ditingkatkan denda kepada tidak melebihi RM10 juta bagi kesalahan termasuk menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan terjadual selain di premis ditetapkan, diharap semua pihak akan lebih serius dalam menjaga alam sekitar.
LATAS Pulau Pinang juga amat bersetuju apabila kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi sesuatu projek seperti perlu diperketatkan agar alam sekitar dan mereka yang berada berdekatan dengan projek tersebut tidak dijadikan mangsa.
Kami risau sekiranya EIA projek seperti Tambak Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan, akan memberi kesan yang teruk kepada ekosistem alam di sana, gangguan kepada jaminan makanan (food security), dan menutup periuk sumber rezeki nelayan di sana.
Semoga dengan usaha KASA ini akan memberi impak yang baik kepada negara dalam membentuk sebuah Malaysia Sejahtera yang masyarakat hidup aman di dalamnya dengan khazanah alam sekitar yang terjaga dengan baik.
Sekian, terima Kasih.
“MALAYSIA SEJAHTERA”
Saiful Lizan bin Md Yusoff
Pengerusi,
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Pulau Pinang