Home Berita PAS Kelantan

Kuliah di Medan Ilmu sentiasa dapat sambutan

170
SHARE


KOTA BHARU, 3 Oktober: Program kuliah mingguan yang diadakan pada setiap pagi Jumaat di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati sentiasa mendapat sambutan daripada setiap lapisan masyarakat sama ada dari dalam atau luar Kelantan.

Pada musim cuti khususnya kehadiran akan bertambah dengan kedatangan pelancong ke Kelantan yang ambil kesempatan hadir mendengar kuliah selama berada di sini.

Menurut seorang pesara guru, Mohd Saufi@Mohd Zawawi Awang, 75, dari Kampung Pauh Lima, Bukit Marak, Kota Bharu menyatakan, beliau sudah lama mengikuti kuliah di sini yakni sejak zaman awal-awal lagi.

“Kelebihannya, selain dapat ilmu kita boleh dengar maklumat tentang isu-isu semasa yang berlaku dalam negara, sebab itu saya selalu datang jika tidak ada keuzuran,” katanya yang ditemani cucu.

Tambahnya, sepanjang tempoh pandemik COVID-19 baru-baru ini, kuliah terpaksa dibatalkan. Beliau terasa kurang selesa kerana lama tidak dapat ikuti kuliah seperti selalu.

Manakala seorang pesara swasta, Mohd Tahir Muhammad, 62, dari Kampung Jambu Merah, Melor, Kota Bharu mengaku banyak kelebihan mengikuti kuliah di sini kerana selain ilmu dan mendengar ulasan isu-isu semasa, cara penyampaian kuliah juga berbeza di antara penceramah-penceramah.

“Saya lebih seronok mendengar kuliah di suasana lapang dan terbuka begini yang mana selepas habis kuliah kita dapat mencari barang-barang keperluan bersama keluarga untuk dibawa pulang,” katanya.

Berhubung perkara yang sama, beliau turut mencadangkan, selain menampilkan penceramah yang berlatarbelakangkan pendidikan agama adalah lebih elok ditampilkan juga penceramah dari kalangan profesional.

Turut ditemui adalah seorang anak muda yang kini masih belajar, Ariff Aziz, 19, dari Kampung Sering, Bachok berpendapat, selain ilmu beliau ke sini untuk mendapat beberapa kelebihan, antaranya untuk belajar cara-cara menyampaikan kuliah dan syarahan dengan lebih menarik dan berkesan.

“Saya cuba melatih diri saya pada peringkat masih muda ini untuk menjinakkan diri dengan program-program agama dan mendalami ajaran Islam”.

Selain itu ujarnya, bila beliau hadir pada majlis seperti ini beliau boleh mendekatkan diri dengan ahli-ahli agama dan orang minat pada agama.