PASIR MAS, 26 September: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan walau sesulit manapun, perjuangan tetap menjadi keutamaan kerana tiada istilah rehat dalam perjuangan.
“Kita adalah mata rantai perjuangan yang saling berganti dan menguat. Kita bukan memulakan. Malah bukan juga yang menamatkan,” pesannya dalam ceramah umum Pra Ijtimak Tarbawi Negeri Kelantan di Maahad Tahfiz Daril Ulum, Meranti, Jumaat lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti turut menzahirkan keterujaan melihat semangat anak muda yang diperakui sebagai modal insan hebat selaku pelapis kepimpinan akan datang yang memiliki variasi kebolehan luar biasa.
Baginya, anak muda tersebut cekal istiqamah mengharungi gelora suasana yang penuh mencabar.
“Melihat generasi pelapis ini, segala kepayahan dan kesakitan diri seolah-olah luput,” ujarnya.
Beliau mengucapkan syabas kepada anak muda Kelantan dengan memetik sebuah syair nukilan Imam Alusi r.a sebagai renungan bersama.
إن الفتى من يقول هاأنا ذا
ليس الفتى من يقول كان أبي
“Sesungguhnya pemuda itu mereka yang mengatakan, akulah ini. Bukanlah dinamakan pemuda mereka yang katakan dialah bapaku.”
Turut hadir, Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari dan Penolong Pengarah Kanan Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Mohammad Abdul Malik Abdul Karim.