KOTA BHARU, 25 September: Kerajaan Negeri Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diasaskan oleh Almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa meraikan sambutan hari-hari kebesaran semua kaum yang ada di negeri Kelantan dan perkara tersebut dilazimi sehingga ke hari ini.
Kelantan sebuah negeri yang menyantuni bangsa, kerana selain sambutan hari-hari kebesaran orang-orang Islam, turut diadakan setiap tahun ialah Sambutan Hari Deepavali Sambutan Tahun Baru Cina, Pesta Songkla, Pesta Tanglung.
“Sebagaimana yang kita boleh dengar melalui irama gabungan gendang India, Melayu dan Cina yang sangat harmoni, begitulah juga gambaran hubungan perpaduan kaum yang ada dalam masyarakat negeri Kelantan yang hidup aman damai dan saling menghormati antara satu sama lain.”
Demikian ucapan perasmian Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan YB Dato’ Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman di Festival Silang Budaya Pesta Tanglung 2022 yang diadakan di Dewan Perniagaan Cina, semalam.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri amat menyokong dan menyambut baik sebarang program yang merentasi bangsa dan kaum, kerana selain meraikannya dan mencari pelapis baharu, ia juga mampu dipertontonkan kepada masyarakat luar uniknya seni dan budaya Kelantan, sebagai contoh persembahan wayang kulit dalam bahasa Cina.
Sementara itu, berucap semasa majlis tersebut juga, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Tiong-Hwa Kelantan, Dato’ Oui Poh Chun memaklumkan, pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19, perarakan besar-besaran pesta Tanglung daripada Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Chong Cheng ke Dataran Cheng Ho, Kota Bharu telah mendapat sambutan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai kaum.
“Pada masa itu, Bandar Kota Bharu cukup meriah dan terang dengan cahaya tanglung. Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri melalui kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sekali lagi akan menganjurkan Perarakan Muhibbah 2023.
Pesta Tanglung ialah perayaan tradisi masyarakat Tionghua yang bermain tanglung di bawah sinaran bulan mengambang sambil makan kuih bulan,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Pusat Intergriti Antara Kaum (PEKA) selaku penganjur turut mempamerkan 36 tanglung pelbagai saiz dan bentuk sebagai rujukan kepada generasi baharu dan informasi kepada kaum lain di Kelantan.