KOTA BHARU , 20 September: Berucap semasa Majlis Pelancaran Projek Hidrokuasa Kecil (PHK) Fasa 1 di hotel terkemuka disini semalam, Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob berkata,
“Saya dimaklumkan projek ini mampu menyediakan hampir 1,000 peluang pekerjaan yang majoritinya akan diisi oleh anak tempatan. Projek yang dicadangkan juga akan menyumbang secara langsung kepada pendapatan negeri Kelantan dengan sumbangan sebanyak RM50 ribu setiap tahun untuk kapasiti terpasang megawatt.”
Menurut beliau, projek ini juga mampu memenuhi sasaran tenaga boleh baharu yang mampu menstabilkan pelepasan gas rumah hijau di dalam sektor tenaga.
“Saya percaya projek ini dapat menyumbang ke arah peningkatan dan promosi pembaharuan tenaga sebagai tindakan utama untuk ketahanan perubahan iklim bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau”, ujarnya lagi.
Projek bernilai RM1.2 bilion yang dibangunkan berasaskan konsep penjanaan hidrokuasa jenis Turus Rendah dengan Sistem Lata di tiga (3) lokasi di Sungai Galas yang terletak di dalam daerah Dabong iaitu, Kuala Geris, Kemubu dan Serasa akan menjadi antara pemangkin dalam merancakkan pembangunan ekonomi Negeri Kelantan dalam tempoh pembinaan sehingga siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan YB Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Setia Dato’ Nazran Muhammad, Pengarah/Ketua Pegawai Eksekutif Rising Promenade Sdn Bhd dan Pengarah/Pengarah Urusan RP Hydro (Kelantan) Sdn Bhd, Dato’ Farisah Mohd Farid, Pengarah/Ketua Pegawai Operasi Rising Promenade Sdn Bhd Dato’ Abd. Rashid Jabir serta Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.