Home Berita PAS Kelantan

85 peratus lot THPM sudah ada pelabur komited – YB Dato’ Hanipa

51
SHARE

PASIR MAS, 19 September: Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan, YB Dato’ Hanipa Ahmad memaklumkan sehingga Ogos 2022, 85 peratus lot industri di Taman Halal Pasir Mas (THPM) sudah mempunyai pelabur yang komited dan berpotensi. Beberapa premis mula beroperasi setelah tergendala sebelum ini akibat pandemik COVID-19.

Tambahnya, sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju global industri halal, THPM seluas 109 ekar dan berdekatan dengan sempadan Thailand dan rantau Indochina itu memainkan peranan penting dalam perdagangan rentas sempadan yang memanfaatkan Segi Pertumbuhan Indonesia – Malaysia – Thailand (IMT-GT) sekali gus berfungsi sebagai taman industri pilihan terbaik untuk para pelabur swasta di rantau Asia Tenggara.

“THPM adalah sebuah taman perindustrian halal bersepadu dengan jumlah ini diiktiraf oleh Halal Development Corporation sebagai taman industri berstatus HALMAS yakni taman industri yang bertaraf dan lengkap infrastrutkur sangat berpotensi,” jelasnya ketika ditemui semasa melakukan lawatan kerja ke THPM di bersebelahan Jalan Persekutuan (Pasir Mas – Rantau Panjang), pada 14 September.

Mengulas lanjut, Dato’ Hanipa menerangkan THPM yang dibina untuk menarik pelaburan dari sektor pembuatan, perniagaan tani, makanan dan minuman, tenaga yang boleh diperbaharui, gudang dan logistik yang berteraskan konsep halal.

Sehubungan itu, ECERDC memaklumkan THPM menawarkan lokasi strategik bagi pelabur tempatan dan antarabangsa itu terbahagi kepada Fasa 1 dan Fasa 2 iaitu Bangunan Kompleks Perniagaan Usahawan (EBC) di PMHP diwujudkan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dilengkapi kemudahan infrastruktur asas.

Lot Industri seluas 61.85 ekar adalah platform bagi pelabur-pelabur swasta untuk bergiat dalam Industri Halal dengan infrastruktur dibina oleh ECERDC manakala pembangunan tanah pula dilaksanakan oleh para pelabur swasta.

Sementara itu, Lot Komersial ialah Industri Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang menyokong Industri Halal seluas 8.95 ekar yang dilengkapi infrastruktur dan bangunan yang dibina oleh ECERDC. Manakala penyewaan unit pula dimajukan oleh pemaju berkaitan.