MACHANG, 18 September: Sambutan orang ramai pada Program Pentas Rakyat Kelantan Maju Rakyat Sejahtera Peringkat Negeri Kelantan 2022 Parlimen Machang yang diadakan di Dataran Kemahkotaan Bandar Machang bertambah meriah pada sebelah malam dengan majlis perasmian dan acara persembahan pentas.
Program anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang diadakan semalam itu adalah program ketiga sesudah diadakan di Kuala Krai dan Pengkalan Chepa minggu lalu.
Berucap merasmikan majlis tersebut, Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, program tersebut cukup baik dalam usaha mengukuhkan hubungan silaturahim di antara rakyat dengan pemimpin di negeri Kelantan.
“Kerajaan negeri sentiasa menganjurkan pelbagai program dalam usaha memupuk perpaduan dan kerjasama rakyat sesuai dengan dasar “Membangun Bersama Islam” (MBI). Terima kasih kepada UPKN yang telah mengambil pendekatan melalui hiburan untuk bersama rakyat merialisasikan hasrat kerajaan negeri demi kebaikan bersama,” katanya.
Tambahnya, program hiburan yang dianjurkan di negeri ini untuk keperluan rakyat adalah berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan dalam enakmen kawalan hiburan kerajaan negeri.
Berucap sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, program hiburan yang kita anjurkan adalah dalam ruang yang dibenarkan oleh syarak dan bukan hiburan yang bertentangan dengan agama dan budaya masyarakat kita.
“Ini adalah mesej kita melalui pentas rakyat dengan menyediakan hiburan patuh syariah kepada rakyat,” katanya yang juga selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.
Program yang diadakan bermula sejak pagi hingga tengah malam itu membabitkan tiga sesi, iaitu sesi pagi diisi dengan kuliah duha, motivasi, derma darah, pameran agensi kerajaan dan program khidmat rakyat.
Sesi petang, servis tukar minyak hitam, acara sukan, kuiz rakyat, transformer, khidmat refleksiologi dan seni silat.
Sementara sesi malam dimeriahkan dengan persembahan pentas yang membabitkan artis seperti Iwan Syahman, Sabri Yunus, Cik Mam, Shaq Mentor, Renggo Arrow, persembahan gendang 24 musim dan dikir barat Kumpulan Medan Kemulang dari Melor.
Turut hadir, Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Abd Hamid, ADUN Kemuning, YB Roseli Ismail, Ketua Jajahan Machang, Nik Mohd Hasanuddin Nik Hussain dan pimpinan setempat.