TANAH MERAH, 12 September: Majlis Perasmian Loji Pengapungan CMNM Mining Group SDN BHD di Mukim Sokor Ulu Kursial telah berjaya disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, semalam.
Loji pengapungan itu dibina hasil kejayaan kolaborasi strategik antara Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bersama Syarikat CMNM Mining Group SDN BHD sejak 16 Mei 2007.
Ia pada asalnya melibatkan perjanjian usahasama kerja-kerja penerokaan, perlombongan dan mengusahakan emas di Mukim Sokor, Daerah Ulu Kusial, Jajahan Tanah Merah di atas tanah seluas 956.5 hektar dan projek itu telah berjaya mencapai tuangan emas pertama pada 21 Julai 2010.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus dalam ucapan aluan berkata hasil daripada usahasama ini, PKINK telah memperoleh tribute emas sebanyak 3 peratus daripada nilai jualan emas sehingga tahun 2016. Manakala mulai tahun 2017, kadar tribute telah disemak semula dan dinaikkan kepada 4 peratus daripada nilai jualan emas.
Semasa menyampaikan ucapan perasmian, Ustaz Dato’ Ahmad berkata loji baharu yang akan dirasmikan ini bertujuan untuk memproses plumbum dan zink dan ianya adalah loji ketiga yang dibina oleh CNMC di kawasan ini, yang mana loji pertama telah dibina pada 18 November 2013 dan loji kedua telah dirasmikan pada 2 Mei 2018.
Menurutnya lagi, kedua-dua loji yang dibina sebelum ini adalah khusus untuk memproses emas dan telah berjaya memberi manfaat dan pulangan yang baik kepada semua pihak termasuklah Kerajaan Negeri, PKINK serta CMNM sebagai pelabur.
“Berdasarkan rekod, sejak dari tahun 2010 sehingga Jun 2022, hasil pengeluaran yang berjaya dikutip ialah seberat 8.53 juta gram emas dengan hasil jualan sebanyak RM1.07 bilion,” ujarnya lagi.
YAB Menteri Besar yang juga pengerusi PKINK memaklumkan Kerajaan Negeri telah memperolehi hasil royalti emas sebanyak RM86.14 juta, manakala pihak PKINK pula memprolehi hasil tribute sebanyak RM39.86 juta.
“Hasil royalti dan tribute ini telah memberi manfaat yang besar kepada rakyat Negeri Kelantan khususnya melalui pembangunan projek infrustruktur dan kemudahan asas yang lain. Selain itu, CMNM turut memberi sumbangan kepada masyarakat melalui CSR dalam pelbagai bentuk antaranya RM 1 juta setahun kepada tabung pendidikan negeri,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan YB Dato’ Hanipa Ahmad, Pengerusi Eksekutif CNMC Goldmine Holdings Limited Professor Lin Xiang Xiong, Pemangku Ketua Polis Negeri Kelantan DCP Dato’ Muhammad Zaki Harun, Ketua Jajahan Tanah Merah Mohammad Yusoff Hassan dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Mohamad Nazwan Ismail dan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Para hadirin turut ditunjukkan demonstrasi operasi loji dan berpeluang melawat mekanikal-mekanikal di loji yang baru dirasmikan itu.