Home Berita PAS Kelantan

PM umum projek pembangunan untuk rakyat Kelantan

73
SHARE

TUMPAT, 10 September: Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa projek besar untuk Kelantan demi pembangunan sosio ekonomi rakyat Kelantan.
Pengumuman itu dibuat sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut di Laman Warisan Kampung Laut, semalam.

Katanya, antara projek tersebut, pertama ialah pembangunan bandar-bandar sempadan yang mana kerajaan bersetuju untuk membina Jambatan Sungai Golok di Rantau Panjang dan Pembinaan Jambatan Takbai – Pengkalan Kubor.

“Kedua, Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), jajaran adalah dari Gemuruh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan iaitu sepanjang 147 kilometer. Ketiga, Projek Tabatan Banjir di Rantau Panjang-Golok Fasa 2 telah diluluskan dengan kos sebanyak RM 897 juta manakala yang keempat Jambatan Palekbang,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang membabitkan Masjid Kampung Laut, Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding.

“Projek ini telah menjadikan Kampung Laut sebagai sebuah destinasi wajib singgah di negeri Kelantan dan merancakkan kegiatan ekonomi berasaskan pelancongan di kawasan setempat, disamping memelihara kesenian, warisan, budaya dan kemegahan seni bina penduduk Kampung Laut. Pelancongan merupakan salah satu sektor yang menjadi tonggak kepada pemulihan ekonomi di wilayah ini. Oleh itu, kerajaan persekutuan telah mempergiatkan usaha memulihkan sektor pelancongan negara dan penyempurnaan projek ini adalah lambang komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat Kelantan,” katanya.

Berucap sebelumnya, Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian Perdana Menteri hadir merasmikan Laman Warisan Kampung Laut yang telah mengubah wajah Kampung Laut menjadi pusat pelancongan warisan yang penting di negeri ini.

“Kerjasama semua pihak khususnya antara kerajaan negeri dan pusat serta ECERDC akan dapat membantu lebih banyak pembangunan sosio ekonomi untuk rakyat Kelantan,” katanya.
Berhubung perkara yang sama, beliau mengharapkan semoga Masjid Kampung Laut diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia terpenting di negeri ini.

Majlis perasmian tersebut disaksikan oleh Ahli-ahli Majlis ECERDC termasuk keempat-empat Menteri Besar iaitu Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zaki Ali, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan pusat dan negeri.

Selesai majlis perasmian, Perdana Menteri dan dif-dif terhormat diiringi untuk melawat ke Masjid Kampung Laut, Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding.