PASIR MAS, 4 September: Sempena kehangatan sambutan kemerdekaan ke-65, persembahan Teater Tok Janggut daripada Kumpulan Jihad Putera Jeram Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) memukau dan memberi penghayatan bermakna sehingga ramai penonton menitiskan air mata ketika menyaksikan perjuangan dan pengorbanan pahlawan Tuan Guru Hasan bin Panglima Mat Munas (Tok Janggut) mempertahankan tanah air.
Persembahan tersebut diadakan sempena Program Muzium Bersama Komuniti yang diadakan di Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Tok Uban pada 1 September lalu.
Berucap di majlis perasmian Program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata fungsi sesebuah muzium itu sendiri adalah lebih kepada memberi pendidikan kepada masyarakat.
“Secara keseluruhan, Kelantan mempunyai sembilan buah muzium dan tambahan sebuah lagi Muzium Pertanian dalam proses pembinaan.
Tujuan muzium diwujudkan, bukan sekadar mempamerkan barangan-barangan lama atau warisan yang berusia ratusan tahun, tetapi ia lebih berperanan sebagai satu institusi dalam menjana pemikiran rakyat untuk pembentukan jati diri serta cintakan negara,” katanya.
Selain itu, persembahan silat turut diadakan di samping sukaneka permainan tradisi orang-orang dahulu bagi memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada golongan muda.
Antara permainan tradisi yang dipertandingkan ialah congkak, dekcok (teng-teng), kaki hantu, terompah gergasi, selambut dan lompat getah.