KOTA BHARU, 8 Ogos: Sempena sambutan ulang tahun Hari Sastera ke-50, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP), Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Hari Sastera Kebangsaan ke-18 di PCB Resort pada 4 hingga 6 Ogos lalu.
Bertemakan Islam dan Sastera Kebangsaan, purata 200 peserta dari seluruh Malaysia mengikuti sembilan kertas kerja yang memberi pencerahan seputar Sastera Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kerajaan Kelantan, YB Dato’ Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata masyarakat Kelantan tanpa mengira kaum amat meminati sastera, dan mereka memiliki kreativiti seni yang amat tinggi.
Beliau berterima kasih kepada rakan penganjur dan berharap GAPENA, DBP dan badan-badan penulis di Kelantan terus mengadakan kegiatan seumpama itu di Kelantan yang berskala besar dan bertaraf kebangsaan, serantau atau peringkat antarabangsa.
“Semoga nanti perbincangan berkaitan Islam dapat dizahirkan dalam konteks persuratan dan kesusasteraan secara konsisten pada setiap tahun. Insya Allah, saya akan berusaha membantu sedaya upaya yang boleh. Buatlah perancangan yang awal agar dapat dilaksanakan pada skala yang besar. Semoga dengan itu nanti, impaknya lebih luas dan mendalam,” katanya dalam perasmian majis penutup pada 6 Ogos seraya berpantun;
Luruh daun mengulit resah,
Sukma putih merah menyala;
Guruh berdentum langit tak pecah,
Gema sastera pasti ada.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan perbincangan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah untuk menjadikan Hari Sastera Kelantan sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar aktiviti rasmi Kerajaan Negeri.
“Kita sudah berbincang untuk menjadikan Hari Sastera Kelantan sebagai acara tahunan rasmi. Cadangannya, penyertaan diperluaskan kepada semua pengkarya dan peminat sastera di peringkat Asia Tenggara atau pun bertaraf dunia,” katanya.
Terdahulu, perasmian acara tersebut disempurnakan Dato’ Mohd Amar pada 5 Ogos disusuli majlis penyampaian anugerah Bakti Sastera GAPENA 2022 bernilai RM1 ribu kepada Ketua Satu PUSPA, Dr Abdul Aziz Mahmood (Abham TR) dan Setiausaha Satu PPK, Abdul Hadi Yusoff.