TUMPAT, 26 Jul: Dalam usaha menjaga akidah dan akhlak umat Islam ke arah hidup yang diredai Allah SWT sesuai dengan dasar “Membangun Bersama Islam (MBI)” Kerajaan Kelantan akan menubuhkan Akademik Solat tidak lama lagi.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi ketika menjawab soalan yang dikemukakan peserta berkaitan isu akidah kepada umat Islam pada Program Dialog Ummah Peringkat DUN Wakaf Bharu, Sabtu lalu.
Katanya, Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob sudah menyebut perkara tersebut dan bercadang penubuhan Akademik Solat yang bukan sahaja untuk membimbing manusia tentang kepentingan solat juga sebagai sebuah akademik untuk menjaga akidah dan akhlak umat Islam menepati firman Allah SWT yang mana solat itu boleh mencegah perbuatan mungkar.
“Akademik ini akan melahirkan insan yang cintakan solat dan sekaligus berusaha menghindarkan diri daripada perkara mungkar dan maksiat. Sekarang kita berdepan dengan banyak isu-isu berkaitan ancaman akidah yang berpunca daripada lemah iman dan terpengaruh dengan fahaman anti agama,” katanya.
Dalam program tersebut, Dato’ Mumtaz sebagai panel pertama dan Ahli Dewan Negara (ADN), YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusuff sebagai panel kedua.