Home Berita PAS Kedah

KEHARMONIAN DALAM KERAJAAN, RAHSIA KEJAYAAN PN DI KEDAH

805
SHARE

KOTA SARANG SEMUT – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkongsi rahsia kejayaan Perikatan Nasional di negeri Kedah adalah dengan menjaga keharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita ambil alih kerajaan dengan tenang dan mengharmonikan pentadbiran kerajaan, tidak mencari pasal dengan pegawai, berkawan dan berbincang dengan mereka,” ujar Sanusi dalam majlis Amanat Khas Tuan Guru Presiden PAS dan Taklimat Pencapaian Kerajaan Negeri Kedah di sini semalam.

Tambah beliau, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan amat mengalu-alukan dan memberi kerjasama sepenuhnya.

Namun tegur Muhammad Sanusi, agar ahli parti jangan memaksa para pegawai ini menjadi PAS kerana mereka bukan ahli politik tetapi pegawai tadbir.

Jelasnya, jika ahli PAS konsisten bersikap baik ianya dapat mengekalkan keharmonian negeri Kedah ini sehingga boleh terus bergerak ke hadapan meninggalkan negeri-negeri lain.

“Saya berharap kerja-kerja yang telah kita lakukan sebagai wakil rakyat ini akan menjadi bekalan kita di akhirat dan menjadi tempat orang menilai prestasi parti kita,” katanya.

Selain menjaga keharmonian, Menteri Besar juga akan bertegas dengan mana-mana negeri jiran bagi menuntut hak bagi rakyat negeri Kedah.

Katanya jika isu air tidak dipertahankan sehingga diabaikan oleh negeri jiran maka seumpama kerajaan negeri tidak ada apa-apa kuasa lagi terhadap sumber air di negeri Kedah.

Tambahnya isu ini perlu diperjuangkan demi kelangsungan hidup bagi generasi akan datang.