Home Berita PAS Wilayah

Mesyuarat Agung Tahunan Pemangkin Kebangkitan PAS Batu

47
SHARE

Mesyuarat Agung Tahunan Pemangkin Kebangkitan PAS Batu

Oleh Dhiya’ Muttmainnah

BATU, 24 Julai : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Kali Ke-37 telah berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) hari ini.

Majlis yang telah bermula seawal 9.30 pagi tersebut telah dihadiri sekitar 100 orang ahli PAS dari pelbagai cawangan dengan rata-ratanya berpakaian berwarna hijau dan putih.

Antara yang hadir adalah Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu, Hajah Salbiah Abd Wahab serta seluruh Jawatankuasa PAS Kawasan Batu.

Dato’ Iskandar Abdul Samad dalam ucapan perasmiannya turut mengingatkan seluruh jentera PAS yang hadir untuk menguasai sesuatu ilmu sebaiknya.

“Hari ini kita bukan sahaja berhujah untuk PAS, tetapi kita berbicara untuk seluruh rakyat. Justeru, kita mesti berupaya memimpin dan memberikan sesuatu buat rakyat dengan ilmu”, terang beliau.

Beliau juga telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Kali Ke-37 dengan lafaz ‘بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم’ dan sekaligus telah menyempurnakan Pelancaran Jentera Pilihanraya PAS Kawasan Batu bagi Pilihanraya Umum Ke-15.

Jaket PAS telah disarungkan kepada Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ustaz Azhar Yahya dan Pengarah Jabatan Pilihanraya Parlimen (JPRP), Muhammad Azhar Mohamad sebagai simbolik penyerahan amanah.

Bendera PAS sebagai simbolik panji perjuangan Islam juga turut diserahkan kepada setiap Ketua Zon di Parlimen ketika majlis pelancaran.

Menurut Ustaz Azhar Yahya dalam ucapan aluannya juga, setiap daripada ahli PAS dari pelbagai peringkat di Parlimen Batu ini mesti menonjolkan kekuatan PAS Kawasan Batu.

“Masyarakat mesti disedarkan dengan politik Islam, serta memahami bahawa PAS satu-satunya parti politik yang wujud sebelum kemerdekaan yang benar-benar serius dan istiqamah dalam membawa suara Islam dan membawa gagasan rakyat majmuk yang sejahtera”, ujar beliau.