KOTA BHARU, 19 Jul: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jumlah nelayan yang berdaftar mengikut data rasmi Perangkaan Jabatan Perikan sehingga tahun 2020 adalah berjumlah 5500 meliputi beberapa Zon seperti Zon A, Zon B, C termasuklah C2 di jajahan Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
“Jumlah nelayan di jajahan Kota Bharu yang berada di Zon A, B, C adalah seramai 726 orang, manakala di Tumpat pula yang berada di Zon A,B dan C, C2 seramai 1126 orang.
Selain itu, di Jajahan Bachok pula jumlah nelayan di Zon A,B dan C, C2 seramai 1040 orang dan terakhir adalah di Pasir Puteh dengan jumlah 2608 merangkumi nelayan di Zon Zon A,B dan C, C2, dan menjadikan jumlah keseluruhan nelayan yang berdaftar adalah 5500 orang,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan juga telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada nelayan. Antaranya, peralatan sokongan menangkap ikan seperti enjin galah, termasuklah galakan teknologi iaitu GPS Garmin-agihan kepada nelayan pantai negeri Kelantan sebagai bantuan peralatan teknologi dan juga peralatan ikan hiasan iaitu besen plastik dan kerek telaga.
Di samping itu, bantuan peralatan ternakan seperti pukat sangkar, tong pelampung, kayu, dan besi juga diberikan.
Turut disalurkan ialah peranti pengumpulan ikan (unjam) bagi komuniti perikanan khususnya untuk peningkatan sumber perikanan di Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat.
Tambahnya, makanan rumusan Ikan Air Payau dan Air Tawar serta benih ikan kap kepala besar bersaiz 3-4 inci, benih ikan siakap, benih hidup udang galah juga dibekalkan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada YB Haji Mohd Huzaimy Bin Che Hussin dari DUN Pantai Irama yang menyoal berapakah jumlah nelayan yang berdaftar mengikut jajahan dan apakah jenis bantuan yang telah disalurkan kepada mereka?, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, semalam.