KOTA BHARU, 4 Jul: Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan Darulnaim (PURNAMA 99) meneruskan komitmen kecaknaan terhadap pendidikan 231 pelajar cemerlang melalui Penyampaian Dermasiswa PURNAMA bagi Tahun 2022.
Majlis penyampaian disempurnakan Yang Di Pertua PURNAMA 99, Datin Bentara Kanan Siti Zabidah Ab Hamid dan Timbalannya, Datin Hasmani Husain, di Dewan Astaka, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10 Kota Bharu, semalam.
Datin Siti Zabidah memaklumkan Dermasiswa Purnama diperkenalkan pada tahun 2015 dan berjaya menyumbangkan dana RM22,320 kepada 62 pelajar terpilih.
“Pada tahun 2022 ini, 231 pelajar telah dipilih untuk menerima RM500 setiap seorang yang melibatkan sumbangan berjumlah RM121,500.
PURNAMA berharap inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dari seluruh parlimen dalam Negeri Kelantan bagi menampung kos pengajian, bahkan membolehkan anak-anak pelajar memotivasikan diri mencapai kecemerlangan untuk ke manara gading bagi membangunkan kerjaya yang lebih baik demi masa depan”, katanya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan Ceramah Motivasi Pelajar yang disampaikan oleh Perunding Halatuju Pendidikan, Mustaffa Abdullah, dari Kuala Lumpur.
Turut hadir, Penasihat PURNAMA 99, YM Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi.