DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan lebih banyak kepada negeri ini, kerana setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan dikutip dari Johor.
Baginda Tuanku Sultan, bertitah menzahirkan perasaan sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.
Titah DYMM Sultan Johor, kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian lebih cekap serta keadaan yang selesa.
“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.
“Saya menyeru kerajaan Persekutuan segera tunaikan janji untuk menaiktaraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.
“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja pada majlis di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru hari ini (16 Jun).
Turut berangkat, YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
DYMM Sultan Johor di dalam titah ucapan, turut menyatakan bahawa kemungkinan Johor akan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri.
“Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia,” tegas Baginda.
Tuanku Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 untuk membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh.
“Semua pihak mesti ingat tentang kuasa-kuasa negeri yang termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Jangan buat keputusan sesuka hati.
“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri, setelah dia mengarahkan Peguam Negara cuti berehat dan ketika kabinet belum lagi dibentuk. Kerajaan Johor juga langsung tidak dirujuk, sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Negeri Johor,” titah Baginda. – Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar