KOTA BHARU, 7 April: Majlis Berbuka Puasa dan Sharing Session Penerbit-penerbit siaran Membangun Bersama Islam (MBI) anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) telah berlangsung semalam di Hotel Ibis Style dengan objektif bertukar pandangan dan menambah baik program siaran MBI sedia ada untuk manfaat bersama.
Berucap dalam majlis tersebut, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata program penyiaran MBI memainkan peranan penting dalam penyampaian maklumat dan memberi kefahaman kepada masyarakat Kelantan khususnya dan negeri lain amnya, bahkan negara.
Mengulas lanjut pandangan yang dikemukakan oleh salah seorang penerbit rancangan MBI, Dato Mohd Nassuruddin bersetuju dan menyokong agar penyelarasan siaran MBI dilakukan terutamanya dari segi ketetapan waktu siaran langsung rancangan yang dibuat agar tiada pertindihan dan meningkatkan lagi jumlah penonton (viewers).
“Perkara yang baik perlu diteruskan dan yang apa yang kurang perlu dibaiki. Jangan lakukan kerja yang banyak, tetapi hasilnya tidak berkualiti.
Masyarakat sekarang lebih meminati video-video pendek, ringkas tapi padat. Justeru, kita perlu mengikuti sunnah Rasulullah SAW yang berucap ringkas tapi membawa maksud yang mendalam,” katanya.
Menurutnya juga, dari segi rancangan yang berbentuk hiburan, Kerajaan Negeri telah menyediakan garis panduan tatacara untuk berhibur yang boleh dirujuk oleh penerbit.
Sementara itu, Pengarah UPKN, YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata kesinambungan daripada pertemuan tersebut, satu sesi khusus sidang meja bulat media dan penerbit MBI akan diadakan dalam masa terdekat.