Home Berita PAS Kelantan

17 penarik beca dihargai

97
SHARE

KOTA BHARU, 5 April: Sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap peranan penarik beca atau ‘gateh teksi’ dalam sektor pelancongan di negeri ini, seramai 17 penarik atau pengayuh beca diraikan dalam Majlis Bantuan Sara Hidup kepada penarik beca di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Negeri Kelantan, semalam.

Dalam majlis tersebut, setiap penarik beca memperolehi bantuan wang tunai RM600 dan bantuan barangan dapur bernilai lebih RM200.

Berucap dalam sidang media selepas majlis penyampaian ini, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, “Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada semua penarik beca walaupun ada usia mereka melebihi 60 dan 70 tahun. Mudahan di atas sumbangan ini, memberi semangat kepada mereka untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat tempatan atau pelancong yang datang ke Negeri Kelantan dan diharap sumbangan ini amat bermakna dalam meringankan lagi beban berikutan pandemik COVID-19”.

Menurut beliau juga, bagi mencari pelapis-pelapis penarik beca, belia yang menganggur disyorkan menceburi sektor ini kerana beca yang digunakan sudah diinovasi (separa enjin bateri) dan kerajaan sentiasa membantu sektor tersebut.

Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Kelantan setiap tahun telah memberi inisiatif RM1,200 seorang kepada penarik beca yang berdaftar dengan TIC di mana pembayaran dibuat secara dua kali setahun.