Home Berita PAS Kelantan

Majlis dialog masyarakat India bersama pemimpin dapat sambutan

156
SHARE

PUCHONG, 3 April: Majlis Makan Malam dan Dialog Mahabbah Pimpinan kerajaan Negeri Bersama Masyarakat India Kelantan di perantauan yang berlangsung di MTREE Hotel, Puchong pada jumaat lalu meriah dengan kehadiran melebihi 120 orang masyarakat india meliputi dari pelbagai latar belakang dan perbezaan umur.

Majlis yang bermula jam 8.00 malam itu, berakhir dengan sesi dialog bersama tiga ahli panel yang terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, dan Pegawai Khas YAB Menteri Besar (Bahagian Hubungan Antara Kaum) Mr. Lau Chin Chua.

Majlis dialog diteruskan dengan soalan daripada Bendahari Persatuan Keturunan India Kelantan Semalaysia (SOKMO) Mr. Chandran dari Negeri Selangor, yang memohon kerajaan negeri Kelantan memberi geran tahunan kepada SOKMO untuk tujuan program-program yang dirancang.

“Saya berbesar hati menyerahkan sejumlah peruntukan daripada peruntukan Exco sebanyak RM 10 ribu kepada persatuan SOKMO, dan peruntukan tersebut boleh digunakan untuk tujuan kemasyarakatan, aktiviti dan lain-lain bagi mengeratkan hubungan di antara ahli persatuan,” kata YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Selain itu, menjawab persoalan dari Setiausaha SOKMO Raj’Khanna daripada Seremban berkaitan dengan imbuhan atau hadiah kepada pasangan anak india yang baru berkahwin (az-ziwaj) dan khairat kematian bagi anak India Kelantan perantauan, katanya permohan akan diproses dengan syarat anak kelahiran tetap Negeri Kelantan.

Terdahulu, menurut Pengarah UPKN YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, program dialog ini sudah lama dirancang tetapi terpaksa ditunda oleh kerana terikat dengan Standard Operation Prosedure (SOP) Pandemik COVID-19.

“Saya mengharapkan PERAKAN selepas ini boleh membuat kolaborasi dengan SOKMO khususnya dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sebagai contoh, saya sendiri yang pernah terlibat dalam membantu mangsa banjir anak-anak Kelantan kaum India di Sri Muda pada disember lepas,” katanya.

Sesi dialog berakhir pada jam 11.00 malam yang turut hadir juga, Presiden PERAKAN Malaysia Dato’ Sr Wan Aminuddin Wan Hussin serta Presiden SOKMO N. Doraraj.