KOTA BHARU, 29 Mac: Pembangunan bandar islamik Madinah Al-Salam termasuk dalam pelan strategik Kelantan Melangkah ke Hadapan (KMK) 2016-2025. Projek berimpak tinggi tersebut bakal menjadi pemangkin peningkatan ekonomi rakyat Kelantan.
Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, projek pembangunan yang turut mengetengahkan konsep bandar hijau dan bandar pintar itu akan dibina di kawasan seluas 116.765 ekar di Mahallah Tunjong 3, Mukim Tiong yang mengutamakan aspek peningkatan sosioekonomi menerusi pembangunan bandar oleh Kerajaan Negeri.
“Madinah Al-Salam menjadi model fizikal dasar Membangun Bersama Islam yang dipamerkan menerusi komponen-komponen dibangunkan seperti masjid, Wisma Al-Salam, dewan serbaguna, kompleks sukan renang dan perumahan dengan sistem keselamatan yang canggih. Inisiatif mewujudkan bandar baharu seperti Tunjong dan Tok Bali terbukti menjadi pelaburan berpotensi tinggi serta peluang ekonomi baharu kepada rakyat termasuk dalam sektor perkhidmatan, perniagaan dan ekopelancongan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Pembangunan Madinah Al- Salam, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad turut memaklumkan bandar pintar tersebut menjadikan masjid sebagai nukleus pembangunan dan pusat aktiviti utama selari dengan pendekatan Rasulullah yang memakmurkan masjid sebagai pusat penyatuan ummah.
“Konsep pembangunan bercampur yang dibangunkan bersesuaian dengan setiap lapisan masyarakat serta penetapan harga munasabah dan mampu milik terutama kepada golongan B40 mencerminkan pembangunan ini selaras dengan matlamat Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan, Pelan Strategik Kelantan Melangkah ke Hadapan (KMK) dan bukan berorientasikan keuntungan semata- mata,” katanya.