KOTA BHARU, 24 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengajak masyarakat memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan Ramadan bagi mendapat ganjaran di hari akhirat.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Sambutan Ambang Ramadan dan Pelancaran Teks Tadarus al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Tahun 1443H/2022M di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, hari ini.
“Al-Quran sebuah kitab yang terbaik, yang diturunkan melalui Malaikat Jibril AS iaitu malaikat yang terbaik, kepada nabi Muhammad SAW iaitu Rasul yang terbaik, pada malam Lailatul Qadar iaitu malam yang terbaik, yang terletak dalam bulan Ramadan iaitu bulan yang terbaik.
“Al-Quran bukan hanya diturunkan untuk sedap didengar tilawahnya atau cantik dipandang khat tulisannya, jauh lebih penting dari itu ia adalah sebuah panduan hidup kepada kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, sejak 30 tahun lalu, Kerajaan Negeri berusaha mengeluarkan teks petikan ayat al-Quran setiap tahun untuk ditadarus dan ditadabburkan oleh semua umat Islam di Negeri kelantan.
Menurutnya, usaha ini menunjukkan betapa Kerajaan Negeri mahukan sebuah negeri yang masyarakatnya memahami al-Quran kerana dengan kembali kepada kitab Allah sahaja ialah satu-satunya cara untuk mengembalikan kegemilangan ummah yang telah malap.
Majlis turut diserikan dengan Forum Ambang Ramadan yang bertajuk ‘Jangan Hanya Mendapat Lapar dan dahaga’ dan sesi pembentangan huraian Teks Tadarus Ramadan 1143H/2022M oleh Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK), Ustaz Zulqarnain Hassan.