MACHANG, 22 Mac: Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan pejabat Menteri Besar, sehingga kini keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Negeri Kelantan adalah 629,880.95 hektar iaitu bersamaan dengan 42 peratus daripada keluasan negeri.
Menjawab pertanyaan media berkaitan usaha kerajaan dalam pengurusan hutan negeri, Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob berkata, walaupun Kelantan memiliki 42 peratus kawasan HSK, tidak dinafikan usaha pengeluaran hasil di kawasan yang boleh diusaha hasil dilakukan kerana jika pokok-pokok tersebut tidak dikeluarkan, ia akan tetap rosak ataupun berlubang.
Dalam pada itu, kawasan yang diusaha hasil tersebut tidaklah termasuk dengan hutan perlindungan, hutan pelajaran, hutan dara dan hutan tadahan air.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri dan rakyat turut memprolehi hasil melalui kewujudan Taman Eko Rimba dan pusat-pusat ekopelancongan yang lain. Pada masa sama juga pembangunan tanah terutama melibatkan perlombongan juga sentiasa dikawal agar sentiasa mengikut garis panduan ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan bertempat di Taman Eko Rimba Bukit Bakar Semalam.
Terdahulu, Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah menyatakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan terus komited dalam melaksanakan pengurusan hutan secara berkekalan dengan memberi penekanan kepada keseimbangan aspek pemeliharaan serta pemuliharaan hutan dan fungsinya dalam pembangunan sosiekonomi.
Sementara itu, tema sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan tahun ini adalah “Hutan Untuk Kesejahteraan Malaysia” (Forests For Community Livelihood).