PASIR PEKAN, 20 Mac: Seramai 272 orang murid 6 tahun dari 11 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di dalam DUN Pasir Pekan berjaya menamatkan pengajian peringkat prasekolah, dan diraikan dalam sebuah Majlis Anugerah Kecemerlangan yang berlangsung di Dewan SMU (A) Bustanus Saadah, Morak semalam.
Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dalam ucapannya, menzahirkan ucapan tahniah kepada para guru dan ibu bapa yang berjaya mendidik murid-murid dengan acuan pendidikan Islam sehingga dapat menamatkan pengajian mereka walaupun negara masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19.
“Tahniah kepada guru-guru dan ibu bapa kerana telah sama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat dan agama, buat anak-anak apabila besar nanti mereka juga akan terus tumbuh membangun dan akan menjadi orang yang soleh dan solehah hasil dari didikan guru-guru hari ini.
Justeru, anak-anak yang berumur 6 tahun pada hari ini, akan menyambung pengajian ke peringkat sekolah rendah mengikut pilihan didoakan semoga terus berjaya, dan mereka semua ini akan menentukan hala tuju negara kerana pada hari ini mana-mana yang berumur 18 tahun ke atas layak untuk memilih pemimpin negara,” katanya ketika merasmikan majlis anugerah kecemerlangan tersebut.
Sementara itu, beliau yang juga ADUN Pesir Pekan hadir bersama isteri Datin Siti Zubaidah Abdul Hamid dan diiringi oleh Pegawai Khas Menteri Besar Mohd Hushaimi Hussian. Turut hadir guru-guru pasti, ibu bapa dan para pelajar.