ALOR SETAR – Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berbangga dengan kerajaan negeri Kedah yang berjaya mencatat pelaburan sebanyak RM68.3 bilion bagi tahun 2021.
Baginda bertitah pencapaian tersebut merupakan satu sejarah dan rekod baharu untuk jumlah pelaburan yang masuk ke negeri Kedah.
“Beta percaya kejayaan ini adalah hasil jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kulim Technology Park Corporation, Invest Kedah Berhad dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pemain-pemain industri lain dalam menarik pelaburan luar ke dalam negeri Kedah.
“Ini membuktikan Negeri Kedah menjadi destinasi pilihan bagi pelabur. Pelaburan ini telah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 sebanyak RM10 bilion setahun. Tahniah Beta ucapkan,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Baginda juga bertitah agar jangan terlalu selesa dan leka dengan pencapaian tersebut.
“Usaha-usaha berterusan haruslah digandakan agar pelaburan masuk dapat ditingkatkan di Kedah Rubber City, Special Border Economic Zone Bukit Kayu Hitam, Kawasan Industri Gurun dan Kedah Aerotropolis.
“Dengan jumlah pelaburan yang besar ini, Beta berharap agar ia dapat meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri Kedah agar setanding dengan negeri-negeri maju di negara ini,” titah Baginda.