Home Berita PAS Perlis

PROTAPAS didik remaja asas agama Islam

225
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

ARAU, 19 Mac: Jabatan Pembangunan Remaja (JPR) Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) telah menganjurkan Program Tarbiah Anak PAS (PROTAPAS) Siri 1 bertempat di Balai Islam Madrasah Diniah Islamiah (MADI), di sini semalam.

Program yang diadakan ini merupakan salah satu platfom ke arah memperkasakan Kelab Remaja PAS (KRP) dan dihadiri seramai 40 orang peserta, terdiri daripada anak-anak ahli PAS di seluruh negeri Perlis.

Antara yang hadir menjayakan program tersebut ialah Pengarah JPR DPPNPs, Saiful Akmar Shahrudin dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis, Haziq Asyraf Dun.

Menurut Haziq, program berkenaan diadakan bertujuan menanam asas-asas agama kepada peserta di samping mewujudkan tautan ukhuwah sesama mereka menerusi aktiviti yang dilakukan bersama-sama.

“Jiwa rasa berkobar-kobar melihat generasi anak muda belasan tahun yang cintakan perjuangan Islam.

“Bukan mudah untuk mendidik cintakan perjuangan Islam melainkan dengan didikan mengikut acuan Islam yang sebenar, Insya-Allah, anak-anak ini merupakan mata rantai perjuangan Islam di Negeri Perlis suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau yang turut mengisi slot program berkenaan turut berkongsi kisah Zaid bin Tsabit yang mengucapkan dua Kalimah Syahadah seawal usia 11 tahun dan memohon izin Rasullulah SAW untuk menyertai Perang Uhud, namun ditolak Baginda kerana usianya yang masih kecil.