Home Berita PAS Kelantan

Program gotong royong pesisir pantai, “Pakat Jago Pata Kito”

106
SHARE

PASIR PUTEH, 20 Mac: Menyemai sikap masyarakat yang cintakan kebersihan memakan masa dan perlu kepada kesungguhan serta didikan berterusan. Kerjasama semua pihak mesti digembelingkan bagi merealisasikan kempen Kelantanku Bersih.

Sempena hari minggu semalam, serentak diadakan program gotong royong pesisir pantai dengan tema “Pakat Jago Pata Kito” anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Majlis Daerah Bachok – Bandar Pelancongan Islam (MDB), Majlis Daerah Tumpat (MDT) dan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, YB Ustaz Mohd Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata gotong-royong kali ini adalah kesinambungan daripada siri-siri gotong royong Kelantanku Bersih yang dimulakan sejak tiga tahun dahulu.

“Hasrat Kerajaan Negeri ialah supaya sehingga sampai satu tahap, kebersihan menjadi budaya masyarakat kita. Kempen jupo sapoh kutip, jange tohok kokse menjadi amalan kita semua,” katanya semasa merasmikan progam di Pantai Bisikan Bayu.
Beliau mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin turut membacakan sepotong hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan” Riwayat al-Tarmizi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahin, ADUN Limbongan, YB Ustaz Mohd Nazlan Hasbullah, Yang Dipertua MDPP, Ahmad Adlee Yasin, Pengerusi Puspanita Jajahan Pasir Puteh, Shahirul Azian Abdul Ghani, Ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta NGO, wakil kakitangan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) serta 500 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat yang hadir menyatakan kebersamaan bersama agenda kerajaan negeri iaitu Kelantanku Bersih.