KOTA BHARU, 17 Mac: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan Stadium Sultan Muhammad IV bakal bertukar wajah setelah Kerajaan Pusat bersetuju meluluskan peruntukan RM5 juta bagi kerja-kerja membaik pulih salah satu antara mercu tanda Kota Bharu itu.
“Kerja-kerja baik pulih sudah bermula melibatkan proses mengecat semula stadium tersebut yang dulunya berwarna merah jambu ditukar kepada warna perak dan merah. Termasuklah, pertukaran lampu limpah yang dijangka siap pada Ogos depan,” katanya.
Perkhabaran gembira itu diumumkan semasa bersiaran melalui panggilan telefon bersama DJ Abe Dik dalam segmen Apa Khabar Orang Kelantan (AKOK), KELANTANfm, semalam.
Beliau turut berkongsi maklumat terkini berkenaan Kerajaan Negeri juga telah menyiapkan prasarana rintis melibatkan RM30 juta untuk pembinaan jalan rintis dan RM20 juta bayaran pampasan pengambilan tanah untuk pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Menurutnya, hasil tinjauan bersama wakil pasukan teknikal, Majlis Sukan Negeri (MSN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Setiusahan Kerajaan (SUK) Kelantan pada Isnin lepas mendapati, terdapat sedikit kerosakan pada jalan rintis akibat banjir yang melanda pada hujung Februari lalu.
Sehubungan itu, pihak terlibat akan melaksanakan operasi penyelenggaraan dan baik pulih segera sebelum pasukan pembinaan kompleks memulakan kerja mereka pula.