Home Berita PAS Kelantan

KASA pertingkat usaha hadapi fasa peralihan monsun

98
SHARE

KUALA LUMPUR, 17 Mac: Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab soalan berkenaan persediaan yang dibuat oleh KASA bagi menghadapi fasa peralihan monsun yang diajukan oleh Ahli Parlimen Tumpat, YB Dato’ Che Abdullah Mat Nawi di Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022, Selasa lalu.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim menjelaskan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan kenyataan media pada 11 Mac 2022 untuk memaklumkan tentang permulaan fasa peralihan monsun yang bermula 14 Mac dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei 2022.

Menurutnya, selain dari notis yang dikeluarkan oleh MET Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran Air (JPS) juga mengeluarkan amaran banjir melalui Program Ramalan Amaran Banjir (PRAB) yang kini beroperasi sepenuhnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Maklumat daripada PRAB ini juga dapat membantu pasukan penyelamat untuk merancang dan menyelaras aktiviti keselamatan kerana semasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah berkebarangkalian berlakunya ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam masa yang singkat iaitu 1 hinga 3 jam,” katanya.

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah pun membentuk Jawatankuasa Pasukan Petugas (Task Force) bagi mengatasi masalah banjir kilat yang diketuai oleh Jabatan Kerajaan Tempatan dan dianggotai pelbagai agensi seperti JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).