Home Berita PAS Kedah

Pusat Pemprosesan Krip Getah beri peluang baharu kepada pekebun

141
SHARE

PADANG TERAP – Projek Pusat Pemprosesan Krip Getah yang merupakan salah satu projek strategik di bawah Dasar Agrokomoditi Negara 2030 dirasmikan oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, YB Menteri Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin di Padang Terap, baru-baru ini.

Katanya, projek ini akan meningkatkan penglibatan pekebun-pekebun kecil meneroka peluang baharu dalam rantaian pengeluaran getah.

“Dengan adanya kemudahan ini, getah krip yang dihasilkan dapat dijual pada nilai harga lebih tinggi, seterusnya mewujudkan alternatif baharu buat pekebun kecil getah tanpa bergantung kepada hasil pengeluaran lateks atau getah beku sekerap (cuplump) semata-mata.

“Selain dari itu, peluang pekerjaan juga turut terbuka buat anak tempatan sekali gus mengurangkan jurang pendapatan ekonomi Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Menurut Exco Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, YB Azman Nasrudin berkata, pelancaran projek ini adalah tepat pada masanya ketika negara sedang dalam menjalani proses pemulihan dan pertumbuhan semula ekonomi yang telah terjejas teruk oleh impak pandemik COVID-19.

“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa Kedah kini sedang berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.5 -6.9 peratus dalam Tempoh Pemulihan 2021-2022.

“Sentimen pelabur juga sangat positif ketika ini dan dijangka akan terus berkembang pada tahun ini dan juga tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya.

Katanya juga, beliau juga berharap agar kementerian dapat memberi tumpuan yang khusus kepada inisiatif ini bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya pekebun kecil getah yang masih dibelenggu dengan masalah kemiskinan.

“Peningkatan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini, telah membelit kehidupan sebahagian besar daripada mereka sedangkan golongan ini adalah kumpulan barisan hadapan dalam pengeluaran komoditi utama negara.

“Kerajaan Negeri amat berharap untuk suatu usaha mentransformasi kehidupan golongan pekebun kecil getah dapat dilaksanakan terutama dalam menyediakan infrastruktur bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran dan pendapatan harian mereka,” jelasnya.