Oleh NORJULIANA BINTI YAACOB
JENIANG, 7 Mac – Seorang warga emas gembira menerima sumbangan sebuah katil khas daripada Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri Azit.
Cik Embot Saad, 80 tahun kini terlantar sejak dua minggu lalu ekoran terjatuh di dalam bilik air rumahnya di Kampung Jeniang, Gurun.
Katanya, disebabkan kemalangan berkenaan beliau mengalami masalah tulang belakang patah dan memerlukan dirinya menjalani pembedahan.
“Saya serta ahli keluarga yang lain tidak bersetuju untuk menjalankan pembedahan kerana bimbang akan risiko disebabkan faktor umur yang telah berusia,” katanya.
Katanya, beliau berasa sangat bersyukur dengan sumbangan yang diberikan dan memohon doa agar disembuhkan segera keadaan dirinya agar dapat berjalan seperti biasa.
Menurut YB Ustaz Sabri, sumbangan berkenaan sebagai tanda ingatan dan keperihatinan pihaknya kepada mereka yang berada di dalam kesusahan.
“Diharapkan dengan sumbangan berkenaan, pesakit diberi sedikit keringanan dan kemudahan untuk diuruskan ahli keluarga,” katanya.