Home Berita PAS Perlis

Karnival Mahabbah Israk Mikraj dapat sambutan hangat

220
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

ARAU, 7 Mac: Karnival Mahabbah Israk Mikraj anjuran Dewan Ulamak PAS Kawasan Arau (DUPKA) yang berlangsung pada 5 Mac lalu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat.

Tinjauan mendapati, hampir setiap masa lokasi karnival dipenuhi orang ramai yang datang dengan pelbagai tujuan.

Pada sebelah pagi misalnya, tidak kurang daripada 300 orang pengunjung mengambil peluang berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan yang turut membuka kaunter perkhidmatan masing-masing.

Sementara itu, acara Jualan Prihatin, pertandingan memasak gulai ikan, kenduri Cucur Adabi serta perkhidmatan tukar minyak hitam motosikal secara percuma pada sebelah petangnya pula turut menarik kehadiran ramai pengunjung.

Menurut Ketua Ulamak PAS Kawasan Arau, Ustaz Mohamad Nasir Nyan, meskipun pertama kali diadakan, sambutan yang diterima di luar jangkaan pihaknya.

“Alhamdulillah, hampir setiap acara yang diadakan mendapat sambutan yang amat baik daripada pengunjung yang datang dari seluruh negeri ini.

“Dalam pada itu, bersempena dengan karnival ini juga, kami turut mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada seramai 30 orang OKU,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada sebelah malam pula, berlangsung Forum Bicara Ilmu yang membicangkan tajuk ‘Menjana Ekonomi Ummah, Mengambil Semangat Israk Mikraj’.