Oleh Nazirul Munir
Kluang, 24 Feb : Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Dato’ Mahfodz telah dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) mewakili PAS yang akan bertanding di DUN N21 Parit Yaani dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengumuman Ustaz Nawfal sebagai calon bagi mewakili Perikatan Nasional bersama calon-calon yang lain telah dibuat oleh pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Kencanapuri, Pulai Spring Resort, Pulai harini.
Kerusi Parit Yaani telah dimenangi oleh Aminolhuda Hassan daripada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lepas yang memperolehi 12,309 undi menewaskan calon BN, Soh Lip Yap (7475 undi) dan calon PAS, Hj Nasir (2943 undi) dengan majoriti sebanyak 4834 undi.
Pada PRU-14 yang lepas juga PH telah membentuk kerajaan setelah memenangi 36 kerusi, manakala BN memperolehi 19 kerusi sementara PAS pula mendapat satu kerusi daripada 56 kerusi keseluruhan di dalam Dewan Undangan Negeri Johor dengan sebanyak 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan secara majoriti mudah.
Nawfal akan bertanding dengan Aminolhuda (PAN) yang merupakan penyandang kerusi tersebut. Manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan Datuk Mohd Najib Samuri sementara Pejuang meletakkan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir sebagai calon di kerusi DUN tersebut.