Oleh Nazirul Munir
Kluang : Peranan PAS sebagai agen penyatu ummah perlu dikekalkan melangkaui tempoh pilihanraya.
Demikian dinyatakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor, Zakiah Tukirin apabila ditanya mengenai pilihan raya negeri (PRN) Johor kali ini.
“Pilihan raya Negeri Johor kali ni dijangka sengit dengan menampilkan 3 atau lebih parti atau gabungan parti-parti Melayu yang mana dilihat bersaing sesama sendiri.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Johor melihat pilihan raya kali ini akan turut diwarnai oleh pengundi muda khususnya pengundi 18 yang menunjukkan penambahan yang sangat signifikan,” ujar Zakiah.
Tambah Zakiah lagi, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor menyokong PAS yang menetapkan bahawa PAS akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
“Kita berharap kebersamaan PAS dalam PN dapat menarik pengundi yang sedar untuk menolak parti-parti politik yang mengamalkan fahaman ultra-kiasi, Islam Liberal, kleptokrasi dan golongan yang masih memberi ruang kepada pemimpin kluster mahkamah untuk terus menerajui negeri dan negara.
“Kita berharap lebih ramai calon PAS yang bertanding atas tiket PN akan berjaya pada pilihan raya kali ini,” tambah beliau.
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Johor turut menghantar nama muslimat untuk menjadi calon PRN yang dapat ketengahkan inisiatif berkaitan kepentingan wanita.
“Jentera pilihan raya Muslimat pada masa ini sedang meneruskan dan meningkatkan latihan dan gerak kerja pilihan raya secara bersepadu bersama rakan-rakan PN sehinggalah hari mengundi nanti,” katanya.
Sebelum itu Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15 pada Rabu mengumumkan bahawa penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, mengundi awal pada 8 Mac sementara pembuangan undi adalah pada 12 Mac.
DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Januari lepas dengan perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkaitan perkara itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari yang sama.