KOTA BHARU, 7 Feb: Pemantapan siri penjelasan maksud tersirat dan tersurat (munaqasyah) Amanat Tahun Baharu 2022 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah menggarisbawahkan kepentingan pemahaman dan keteguhan iltizam para penggerak dasar Kerajaan Kelantan yang memiliki perbezaan perspektif dalam menilai pencapaian kemajuan negeri.
Berucap di hadapan 1976 hadirin secara semuka dan maya, beliau menjelaskan rakyat Kelantan yang matang berpolitik bersatu hati memilih untuk mengangkat pemimpin yang hendak meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, ulama yang dikatakan hanya pandai mengajar bab fekah di pondok, sepakat diangkat menjadi pemimpin. 22 tahun mantan Menteri Besar, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mentadbir urus Kelantan mengikut dasar Membangun Bersama Islam (MBI) tanpa dana yang mencukupi.
“Alhamdulillah sampai sekarang pada era YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, sudah 32 tahun Kerajaan Kepimpinan Ulama Kelantan masih teguh dan tersenarai antara Kerajaan Negeri yang terawal membayar gaji penjawat awam. Kita mesti semat dalam jiwa, standard ukuran dan perspektif kita berbeza dengan kerajaan lain yang bukan meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran negeri.
Jadi, kita tidak boleh ukur pencapaian kita mengikut kriteria yang ditetapkan orang lain kerana Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kita pun tak sama”, katanya di Program Munaqasyah Amanat Menteri Besar Kelantan yang berlangsung di Hotel H-Elite, hari ini.
Oleh itu, beliau menyeru para penggerak dasar kerajaan memperteguh iltizam dalam menyedari taklifan tersendiri untuk terus setia berkhidmat bersama Kerajaan Islam Kelantan bukan berorientasikan imbuhan bulanan semata-mata. Di samping memperkemaskan dokongan terhadap kerajaan sedia ada dengan meneruskan dasar MBI sampai ke akar umbi dan memastikan sokongan rakyat kekal, bahkan meningkat kepada Kerajaan Kelantan sekarang.
Dalam majlis yang sama, para Pengarah Urus setia Kerajaan turut menyampaikan pencerakinan munaqasyah yang diakhiri lafaz ikrar dipimpin oleh Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN), YB Ahmad Fathan Mahmood.