Oleh Efah Sudding
Kluang, 4 Februari – Dewan Muslimat Kluang bersiap siaga hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, kata Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kluang, Latipah Omar.
“Kita (Muslimat Kluang) perlu mengekalkan pendirian Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam menggerakkan gerak kerja parti”, ujar beliau semasa merasmikan bengkel persediaan pilihan raya peringkat Kawasan Kluang di Balai Islam Haji Omar Jani, di sini, harini.
Jabatan Pilihanraya (JPRP) Dewan Muslimat PAS Kluang dengan kerjasama Lajnah IT JPRP telah menganjurkan bengkel kearah persediaan menghadapi PRN Johor kepada jentera kawasan.
Bengkel yang dianjurkan Jabatan Pilihanraya Parlimen (JPRP) Dewan Muslimat PAS Kawasan Kluang dengan kerjasama Lajnah IT JPRP ini bertujuan untuk melatih dan memberi gambaran sebenar kepada ahli kawasan bagaimana untuk menggunakan teknologi sedia ada seperti telegram ketika melakukan gerak kerja pilihan raya.
Turut hadir dalam bengkel , Pengerusi Sidang As-Sabiqun Kluang, Mahat Ismail, Ketua Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Kawasan Kluang, Muhammad Nazirul Munir serta Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Kluang.
Johor bakal menghadapi PRN seletah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenan untuk Dun Johor dibubarkan pada 22 Januari lepas selepas baginda menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Sementara itu, Setiausaha SPR Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan pada 24 Januari lepas memaklumkan bahawa SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung perjalanan PRU DUN Johor ke-15 pada 9 Februari ini.