Oleh: SHARIFAH AJIL
MUAR, 3 Feb : Menjaga hubungan dengan Allah adalah salah satu syarat untuk kita menuju kemenangan baik di dunia mahupun di akhirat.
Demikian kata-kata,YB Senator Ustazah Nuridah Md Salleh dalam ucapan taujihatnya di pusat operasi Muslimat PAS Muar, Jalan Temenggong Ahmad, di sini, semalam.
“Tiada kesukaran bagi orang yang beriman untuk melakukan kebaikan jika tahu tanggungjawabnya sebagai umat Islam.
“Dengan menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah yang beriman seperti sentiasa menjaga solat, berpuasa, berzakat, bersedekah dan sebagainya, moga menarik pandangan Allah kepada kita,” ujarnya.
Beliau merujuk kepada Surah Al Haj, ayat 78 yang menekankan betapa perlunya kita berjihad dengan sebenar-benarnya supaya Rasullulah menjadi saksi kebenaran perbuatan kita itu.
“Dengan berpegang teguh kepada suruhan agama, berusaha menjadi hamba yang bertaqwa, mudah-mudahan segala gerak kerja kita mendapat pertolongan Allah. Segala doa kita dimakbulkanNya,”.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia itu menyampaikan taujihatnya kepada sebahagian jentera muslimat PAS Muar sempena lawatannya ke negeri Johor melihat persiapan operasi jentera untuk PRN Johor tidak lama lagi.
Turut menyampaikan ucapan ialah Pengarah Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin. Beliau meninjau dan memberi pandangan terhadap susunan gerak kerja persiapan PRN Johor yang akan datang.
Di samping itu juga beliau melakukan sesi dialog bersama membincangkan permasalahan yang ada untuk dibantu mengatasinya.
Sumbangan untuk tabung dana PRN Johor juga turut disampaikan oleh pihak Dewan Muslimat PAS Malaysia kepada Pengarah Jabatan Pilihanraya Muslimat PAS Muar, Norlela Tukiran.
Turut hadir sama ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, Zakiah Tukirin, beberapa ahli jawatankuasa DMPM dan DMPNJ, Ketua Muslimat PAS Muar, Norhayati Sulaiman dan ahli jawatankuasa serta ketua-ketua muslimat cawangan.