Home Berita PAS Kelantan

MB bangga budaya Kelantan dapat perhatian global

167
SHARE

TUMPAT, 19 Jan: Projek penyelidikan Preservation of the Rebana Kercing of Kampung Laut, mendapat pengiktirafan global apabila pihak Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Kebudayaan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sudi membiayai dana penyelidikan yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengucapkan tahniah kepada yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad atas pengiktirafan dan sokongan antarabangsa yang diterimanya mewakili negara dan negeri.

Ustaz Dato’ Ahmad turut menzahirkan kebanggaannya terhadap pelaksanaan projek pemuliharaan seni Rebana Kercing yang diketuai Pengarah Pusat Antarabangsa UMK, Prof. Madya Dr Ng Siew Foen bersama 27 penyelidik dan staf UMK.

“Semoga projek ini berjaya mencapai objektif untuk memelihara dan memulihara seni Rebana Kercing Kampung Laut daripada pupus”, katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Amerika ke Malaysia, TYT Brian D. McFeeters atas kesudiannya melancarkan majlis Ambassador’s Fund for Cultural Preservation (AFCP) di Dewan Rebana Kercing, di Kampung Laut, hari ini.

“Inisiatif ini membuktikan kekuatan hubungan Malaysia dan AS dalam pelbagai bidang termasuklah usaha pemuliharaan warisan tidak ketara (ICH) di seluruh dunia. Projek ini juga dapat mewujudkan ruang di perkampungan Kampung Laut, tempat asal, sebagai pusat pengumpulan data, latihan dan perkongsian ilmu Rebana Kercing kepada orang ramai serta tempat tarikan pelancongan Kelantan”, katanya.

Terdahulu, Ustaz Dato’ Ahmad berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Brian D. McFeeters di pejabatnya sempena pelantikan Brian sebagai Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu. Sekali gus membuktikan Kelantan sentiasa diberi perhatian oleh pihak antarabangsa.