Oleh TASNIM MUSTAFFA
KUALA KETIL, 19 Jan – Kehidupan lima beranak berubah sepenuhnya apabila berdepan dengan situasi sukar selepas empat daripada mereka diserang angin ahmar serentak sejak tahun lalu.
Suri rumah Nur Syuhada Md Radzi, 31 tahun berkata ayahnya Md Radzi Ismail, 75 tahun uzur selepas diserang angin ahmar hingga terpaksa menggunakan paip untuk kencing.
“Ibu pula Mariam Abdul , 66 tahun diserang angin ahmar dan lumpuh sejak beberapa tahun lalu di rumah , Kampung Kubang Hong Kuala Ketil.
“Kemudian selepas itu, kedua abang saya Mohd Razlan Md Radzi, 46 tahun dan Mohd Rizual Md Radzi , 44 tahun pula diserang penyakit itu,” katanya.
Sementara itu, Nur Syuhada berkata dia sanggup berkorban untuk ibu bapa dan abang-abangnya supaya dapat menjaga mereka.
Beliau yang juga mempunyai tiga orang anak itu, tidak bekerja memandangkan ibu dan ayahnya memerlukan perhatian dan jagaan yang rapi.
“Mandi, makan pakai semuanya perlu, ibu pula sudah tidak mampu untuk diangkat, hanya mampu diuruskan di atas katil sepenuhnya,” ujarnya.
Keluarga ini hanya bergantung kepada suami Syuhada untuk membelikan mereka lampin pakai buang setiap bulan, makanan, pakaian, dan ubat-ubatan kepada mereka.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, YB Mej Mansor Zakaria menyerahkan bantuan kerusi roda kepada keluarga ini.
“Mereka semua tinggal dalam sebuah rumah dan seorang lagi bersebelahan.
“Melihat kedatangan saya dan petugas, En Radhi menangis mengenangkan keadaan yang menimpa keluarganya itu,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam: PERTUBUHAN KEBAJIKAN KUALA KETIL ( KUALA KETIL CARE): 02132010002237 atau hubungi Puan Hanita : 013-869 5056.