Home Berita PAS Pahang

KASA dan JPS bincang selesai masalah ‘air termenung’ di Chenor

225
SHARE

Oleh: IBNU ABDILLAH

MARAN, 18 Jan :: Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) YB Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Maran meninjau permasalahan air tergenang pasca banjir di Kampung Sekara, Chenor.

Beliau berkata masalah ‘air termenung’ pasca banjir yang lama tertahan dan lambat mengalir keluar boleh mengakibatkan kerosakan tanaman dan rumah serta ada jalan yang terputus hubungan.

‘Air termenung’ ialah ungkapan popular yang digunakan merujuk kepada air banjir yang terkepung dan tidak surut sekalipun persekitaran sudah kering dan hujan pun sudah tidak turun.

“Bagi mengatasi masalah tersebut pihak KASA telah berbincang dengan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Daerah Maran supaya merangka sistem perparitan baru di kampung berkenaan, agar air pasca banjir cepat mengalir ke sungai yang berdekatan,” kata Tuan Ibrahim.

Sementara itu Jurutera JPS Daerah Maran, Wahida Nadim pula berkata pihaknya telah mengambil inisiatif segera menggali sistem perparitan sementara mengepam keluar ‘air termenung’ tersebut.

Tuan Ibrahim kemudian ke Kampung Baru Bukit Lada di mana terdapat 8 buah kediaman yang sering terputus bekalan air akibat tekanan air di situ yang rendah.

“Kita mengambil maklum dengan usaha meningkatkan tekanan air oleh pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) Maran dan jika tidak selesai KASA berkemungkinan akan menggunakan peruntukan Dana Wakaf Air bagi membina sistem boring air dan tangki khas supaya dapat membekal air kepada mereka,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengurus Daerah PAIP Maran, Harwin Ismail berkata, sejak dua minggu lalu pihaknya telah menambah tiga injap udara (air valve) bagi mengelakkan udara tersumbat (air lock) dalam saluran paip di situ dan cara ini memberi sedikit kesan positif kepada aliran air ke kediaman yang terlibat.

“PAIP Maran juga turut membekalkan tangki air kepada setiap kediaman yang terbabit dan lori tangki PAIP juga datang selang dua hari bagi membekalkan air di situ,” jelas nya.

Menurut nya lagi, punca tekanan air menjadi rendah di situ kerana paras tangki air yang sedia ada terbina di kampung tersebut hanya setinggi 100 meter sedangkan aras kawasan kediaman di situ berbukit setinggi 80 meter .

Turut hadir dalam lawatan tersebut Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor YB Ustaz Mujibur Rahman Ishak, ADN Luit YB Sofian Abdul Jalil dan Penghulu Mukim Kertau Khairul Azman Abu Bakar serta Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.

Sumber : Lajnah Penerangan & Media Baru (LPMB) PAS Kawasan Maran.