KOTA BHARU, 10 Jan: Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan telah pun mengkaji dengan mengambil kira keadaan semasa dan seterusnya memutuskan tarif baharu elektrik bagi tahun 2022 sehingga 2024 akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Saya memberi jaminan bahawa kadar baharu itu nanti akan memberi keuntungan kepada rakyat terutamanya pengguna domestik. Oleh kerana keadaan negara yang baru sahaja pulih daripada pandemik COVID-19 serta krisis ekonomi telah menjadi pertimbangan pihak kerajaan untuk menentukan kadar tarif baharu elektrik”, katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan kepada Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, semalam.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mengumumkan lebih 40,000 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir bakal menerima rebat elektrik seratus peratus secara sekali beri (one-off) bagi bil elektrik bulan Disember tahun lalu.