KOTA BHARU, 6 Jan: Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri pada tahun 2021 kekal berdaya tahan walaupun beroperasi dalam persekitaran ekonomi yang lebih mencabar akibat pandemik COVID-19. Sehubungan itu prestasi akaun semasa Kerajaan Negeri Kelantan mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta pada tahun 2021 dengan peningkatan sebanyak RM2.17 juta atau 4.77 peratus berbanding tahun 2020.
Kerajaan Negeri telah mencatat prestasi kewangan lebihan (surplus) selama 5 tahun berturut-turut bermula tahun 2017 (RM38.2 juta), 2018 (RM40.4 juta), 2019 (RM45 juta) dan 2020 (RM 45.44 juta).
Berucap dalam Majlis Amanat Khas Tahun 2022, Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob kepada penjawat awam Negeri Kelantan, “prestasi yang baik ini diuruskan melalui pelan-pelan tindakan transformasi kewangan ke arah ‘matching’ di antara hasil dan belanja melalui rasionalisasi semula kutipan hasil, kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan bagi menghadapi kebiasaan baharu.
Katanya lagi, lebihan hasil ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk program rakyat bagi pemulihan pasca COVID-19, program kebajikan rakyat dan pembagunan insan.
Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Belanjawan) 2 Disember 2021 lalu, Dato’ Ahmad Yakob membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Kelantan yang bertemakan “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” dengan peruntukan RM 1.51 bilion lebih menumpukan kepada pemulihan ekonomi yang berdaya tahan, makmur dan mampan bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta meningkatkan tahap pendidikan dan mengembangkan syiar agama.