TUMPAT, 6 Jan: Panorama pantai yang indah dan alunan ombak yang mengasyikkan mampu menarik minat pengunjung tempatan dan luar untuk datang menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Justeru kerajaan Kelantan optimis menjadikan pesisir pantai sebagai pusat rekreasi dan riadah utama pilihan keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan YB Dr Izani Husin semasa meninjau di lokasi pantai Geting Tumpat Selasa lalu dan Pantai Senok semalam berkata elemen bersih, ceria dan kondusif menjadi fokus utama tahun 2022 ini untuk merealisasikan Kempen Kelantanku Bersih.
Sehubungan itu, program gotong royong mega membersih pantai bakal diadakan di pantai Geting pada 15 Januari dan di Pantai Senok 22 Januari ini.
“Kita sangat alu-alukan penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan orang ramai dalam menjayakan gotong royong mega ini,” katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang.
Katanya lagi, kerja-kerja menaik taraf kawasan pesisir pantai yang ada di Kelantan sedang giat diusahakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kemudahan prasarana seperti kiosk, tempat letak kenderaan dan tandas juga dalam proses pembinaan.
Dengan ini beliau berharap semua pengunjung dapat memberi kerjasama yang baik untuk menjaga kebersihan tempat awam dan ubah sikap membuang sampah dalam tong sampah yang telah disediakan.