KELABORAN, 5 Jan: Program Stesen Mek Awey akan diperluaskan ke seluruh negeri dalam usaha membantu dan meningkatkan ekonomi golongan belia melalui perniagaan.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat ketika merasmikan Majlis Pelancaran Stesen Mek Awey di Ir Mart Kelaboran, semalam.
Katanya, program ini adalah program ketiga di Kelantan selepas di Tunjong dan Pulai Chondong yang bermatlamatkan untuk memberi peluang kepada golongan remaja terbabit dalam bidang perniagaan.
“Program ini akan membuka kerjasama dengan pelbagai pihak seperti syarikat, vendor dan sebagainya ke seluruh negeri dalam usaha memperkasakan lagi ekonomi golongan belia,” katanya yang juga ADUN Pengkalan Kubor.
Program ini berjaya menarik minat lima vendor yang bersetuju untuk menjadi perintis program iaitu Syukor Burger, Street Bite, Mr Tako, Subdepo Friend Chicken dan Brew Street Coffee.
Turut hadir, ADUN Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan, ADUN Wakaf Bharu, YB Mohd Rusli Abdullah, ADUN Chetok, YB Zuraidin Abdullah, YABhg Datin Bentara Kanan, Siti Zabidah Ab Hamid dan Pengarah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO (U-BeS), Nasruddin Mahmud Muhaidin.