KOTA BHARU, 1 Jan: Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) tegap kukuh menyokong Kerajaan Kelantan lebih 31 tahun dengan segala cabaran. Tahun 2021 ditinggalkan dengan pengalaman pelbagai rasa yang dijadikan iktibar penguat semangat untuk gagah melangkah memasuki tahun 2022 pula.
Demikian tekad dan iltizam dizahirkan Pengarah UPKN YB Ahmad Fathan Mahmood yang bersiap siaga mengemudi ‘re-treat’ UPKN pada 11 hingga 13 Januari depan. Katanya, segala gerak kerja kita berkompaskan kitabullah dan sirah yang banyak memperturunkan ilmu agar tidak tersasar dari matlamat perjuangan asal yakni mengabdikan diri kepada Allah.
“Kerja adalah ibadah. Oleh itu, kita di UPKN sedaya upaya cuba mempraktik segala ilmu perjuangan para solehin zaman silam dengan meniru untuk mengamalkan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan. Komposisi segi tiga kerajaan ialah pemimpin, negeri dan rakyat. Samalah seperti komponen keseimbangan bumi yakni Tuhan, manusia dan alam. Oleh itu, kesatuan tiga elemen ini mesti dijadikan amalan dan disebarluaskan oleh UPKN kepada semua lapisan masyarakat selaku media rasmi yang berfungsi sebagai tulang belakang, saraf tunjang dan sayap kekuatan struktur tadbir urus Kerajaan Kelantan yang berslogankan Merakyat Membangun Bersama Islam”, pesannya.
Beliau juga menasihati warga UPKN mencontohi pasukan pilihan Rasulullah SAW yang memiliki kesabaran, keteguhan akhlak luar biasa seperti generasi as-sabiqun al-awwalun.