Home Berita PAS Kelantan

Pameran Keris sampaikan mesej perjuangan Ulama silam

286
SHARE

KOTA BHARU, 27 Dis: Rasulullah SAW berpesan jangan sesekali bercita-cita mencari musuh namun jika musuh menyerang, hendaklah melawan dan jangan berpaling tadah. Konsep ini jelas dalam prinsip Islam yang sentiasa dimusuhi dan diancam walaupun muslimin tak pernah mencari musuh. Sedangkan semua peperangan dimulai oleh musuh.

Demikian kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, YB Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika merasmikan Pameran Koleksi Keris Tiga Tokoh Kelantan dan Majlis Penyampaian Senjata Cantik Semenanjung di Muzium Negeri Kelantan, Sabtu lalu.

“Keris senjata pelindung diri yang bukan ditempa untuk menyerang. Keris pembawa semangat dan jadi senjata terakhir untuk bertempur. Mesej inilah yang mesti kita perturunkan kepada generasi demi generasi supaya kita dan anak cucu tahu senjata pusaka inilah antara penyebab kita hari ini hidup di negeri yang aman damai kerana Tanah Melayu berdaulat ini dipertahankan oleh sebilah keris nenek moyang”, katanya.

Tambahnya,Perjalanan perjuangan Islam yang sinonim dengan bangsa Melayu sangat jauh dan penuh onak duri. Inilah yang berlaku di Kelantan dan negeri lain. Ulama dan hulubalang Melayu silam tidak pernah bermusuh dengan sesiapa namun penjajah datang membawa agenda dakyah Kristian dan perluasan kuasa politik di Eropah maka Tanah Melayu menjadi sasaran.

Beliau juga mengundang orang ramai mengunjungi pameran 77 koleksi keris dan senjata Melayu milik tiga tokoh pemimpin Kelantan yang berlangsung dua bulan bermula 15 Disember hingga 15 Februari 2022. Turut hadir, Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, YB Mejar ( B ) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim.