Home Berita PAS Kelantan

YB Ustaz Latif ketuai Skuad Khidmat Malaysia Kuala Krai ke Bentong

133
SHARE

BENTONG, 26 Dis: Hari ini adalah hari ketiga misi bantuan banjir yang dijalankan skuad Khidmat Malaysia Kuala Krai ke Bentong melibatkan 103 petugas dan 30 kenderaan diketuai Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Ustaz Abdul Latiff Abd Rahman diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manik Urai, YB Fauzi Abdullah, ADUN Mengkebang, YB Muhammad Mat Sulaiman dan ADUN Guchil, YB Hilmi Abdullah serta pengerusi Khidmat Malaysia Kuala Krai, Zamri Jusoh.

YB Abdul Latif berkata keletihan sukarelawan Khidmat Malaysia Kuala Krai terubat apabila Pemangku Sultan Pahang, DYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sudi mencemar duli turun memantau operasi beliau dan pasukan di kawasan Rumah Murah Kampung Teroh, Karak, semalam.

“Keberangkatan baginda yang begitu prihatin dan sedia meluangkan masa bertemu mata dengan sukarelawan daripada Khidmat Malaysia Kuala Krai dan Jabatan Amal Kuala Krai amatlah dijunjung kasih setinggi-tingginya. Saya juga menyampaikan sembah junjung kasih seluruh rakyat Kuala Krai yang dibantu oleh rakyat Pahang semasa tragedi banjir 2014”, katanya yang berkesempatan mengiringi tuanku menyantuni penduduk setempat.

Tambahnya, pasukan Khidmat Malaysia Kuala Krai ditugaskan membersihkan sisa banjir di kawasan Rumah Murah Kampung Teroh, Taman Karak Setia dan Taman Harmoni, Bentong. Permaidani, sistem siaraya dan cat yang rosak di Surau Irsyad yang dijadikan surau angkat Khidmat Malaysia Kuala Krai, akan diperbaharui segera.

#MisiKemanusiaanPascaBanjirPahangSelangor